Polis Ranau komited banteras judi haram, keldai akaun

LocalPolitics
2 Aug 2026 • 10:23 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Polis Ranau komited banteras judi haram, keldai akaun

RANAU: Polis Ranau menegaskan komitmen membanteras jenayah selepas berjaya mendakwa lapan individu di Mahkamah Majistret Ranau dalam dua kes berasingan membabitkan perjudian haram dan penyalahgunaan akaun bank.

Ketua Polis Daerah Ranau Supt Mursalin Mahmud berkata pendakwaan itu hasil siasatan menyeluruh oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau dalam usaha membanteras jenayah konvensional serta jenayah komersial.

Beliau memaklumkan seramai enam individu pada 30 Julai lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ranau atas pertuduhan menjalankan kegiatan perjudian haram mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya pendakwaan terbabit merupakan hasil siasatan berterusan BSJ bagi membanteras kegiatan perjudian di daerah berkenaan.

Dalam kes berasingan pada 29 Julai, BSJK mendakwa dua wanita di mahkamah atas pertuduhan membenarkan akaun bank peribadi mereka digunakan pihak ketiga sehingga terbabit dalam transaksi penipuan yang mengakibatkan kerugian kepada beberapa mangsa.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sabah.

Mursalin berkata orang ramai diingatkan supaya tidak menyerahkan, menyewa atau membenarkan pihak lain menggunakan akaun bank peribadi kerana ia sering dieksploitasi sindiket jenayah bagi menjalankan penipuan dalam talian dan jenayah kewangan.

Beliau berkata pemilik akaun yang terbabit sebagai “keldai akaun “ juga boleh berdepan pendakwaan lebih berat mengikut Seksyen 424B dan Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda antara RM10,000 hingga RM100,000, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap tawaran projek, pelaburan atau urus niaga yang memerlukan bayaran pendahuluan atau penggunaan akaun bank peribadi.

Beliau turut menggesa masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah kepada pihak polis serta sentiasa berhati-hati sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved