Polis Sabah nasihat konsert penyanyi Israel Houghton ditangguh

LocalMusic
28 Sep 2026 • 5:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Polis Sabah nasihat konsert penyanyi Israel Houghton ditangguh

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan menasihati kerajaan negeri agar penganjuran konsert penyanyi antarabangsa Israel Houghton ditangguhkan buat masa ini sekiranya permohonan rasmi berkaitan acara itu dikemukakan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pendirian itu mengambil kira reaksi orang ramai serta sensitiviti masyarakat berhubung penganjuran konsert berkenaan ketika ini.

Beliau berkata polis setakat ini, menerima dua laporan berkaitan acara terbabit dan akan terus menjalankan pemantauan, termasuk mendapatkan keterangan daripada pihak berkaitan.

“Berdasarkan siaran dalam media massa berkaitan dengan konsert ini, kita mendapati banyak reaksi daripada orang ramai termasuk dua laporan polis dibuat kerana dikatakan bahawa penganjuran ini tidak sesuai diadakan ketika ini.

“Memandangkan namanya itu ialah Israel Houghton menyebabkan ia dilihat sebagai sesuatu yang menimbulkan isu sensitiviti dalam kalangan masyarakat.

“Kerajaan negeri akan meminta pandangan daripada pihak PDRM dan memandangkan keadaan sensitiviti sekarang, kita akan menasihatkan supaya konsert ini tidak diadakan dahulu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini hari ini.

Jauteh berkata kerajaan negeri juga difahamkan masih belum menerima permohonan rasmi daripada pihak penganjur walaupun acara berkenaan telah dipromosikan dengan maklumat termasuk tarikh, lokasi dan harga tiket.

Beliau berkata konsert itu dikatakan dijadualkan berlangsung dari 22 hingga 25 Oktober di beberapa lokasi di Kota Kinabalu dan sebahagian daripada jelajah antarabangsa penyanyi berkenaan, dengan Sabah antara lokasi persembahannya di Malaysia.

Israel Houghton merupakan seorang penyanyi, penulis lagu serta pemuzik gospel dan Kristian kontemporari dari Amerika Syarikat yang turut dikenali menerusi kumpulan Israel & New Breed.

Beliau telah memenangi lapan Anugerah Grammy daripada 19 pencalonan, termasuk kemenangan terbaharu bagi Album Muzik Kristian Kontemporari Terbaik menerusi Coritos Vol. 1 pada Anugerah Grammy 2026.

Houghton sebelum ini pernah menyatakan sokongan terhadap Israel menerusi hantaran di Instagram pada 8 Oktober 2023.-BERNAMA

The post Polis Sabah nasihat konsert penyanyi Israel Houghton ditangguh appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved