Polis Sahkan Pemandu Bas Ekspres Tular Suami Orang, Wanita Diriba Hanya Kenalan

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 1:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Polis Sahkan Pemandu Bas Ekspres Tular Suami Orang, Wanita Diriba Hanya Kenalan

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Semalam (13 April), media melaporkan aksi berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang meriba seorang wanita ketika memandu kenderaan terbabit.

Menerusi hantaran tular, bas ekspres berkenaan sedang dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Larkin Sentral, Johor Bahru, Johor.

Apa yang menjadi perhatian adalah wanita terbabit yang duduk di atas riba pemandu berkenaan dilihat turut memegang stereng dalam keadaan bas yang sedang bergerak.

Ekoran itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah merakam keterangan pemandu bas berkenaan.

Malah, syarikat bas berkenaan, Sri Maju Group turut mengesahkan pemandu terbabit adalah pekerja dari syarikat mereka dan telah ditamatkan perkhidmatan serta-merta.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Bas Riba Wanita: Syarikat Bas Sri Maju Mohon Maaf & Berhentikan Pekerja Serta-Merta

Polis Sahkan Pemandu Bas Ekspres Tular Adalah Suami Orang, Identiti Wanita Belum Dikenal Pasti

Terbaharu, polis mengesahkan pemandu bas ekspres yang dirakam meriba wanita itu sudah berkahwin namun wanita berkenaan hanyalah kenalannya, lapor Berita Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, pemandu lelaki yang berusia 36 tahun itu dipercayai menetap di Johor manakala identiti wanita terbabit masih belum dikenal pasti.

Walau bagaimanapun jelas Lee, pihaknya kini belum mendapat maklumat lanjut mengenai hubungan di antara pemandu terbabit dengan wanita dalam video tular itu, lapor Harian Metro.

“Polis memandang serius kejadian itu memandangkan ia membabitkan kenderaan awam yang membawa penumpang.

“Kita juga memohon kerjasama pemandu bas ekspres dan wanita itu agar tampil segera ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin bagi membantu siasatan,” katanya.

Sifatkan Perbuatan Pemandu Sangat Berbahaya

Jelas Lim lagi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jasin telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu selepas tular rakaman video berdurasi lapan saat di Facebook yang memaparkan insiden berkenaan.

Terangnya, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan berlaku pada 12 April lalu kira-kira jam 7.30 malam di kawasan susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.

Manakala, rakaman video terbabit dikesan mula tular pada 13 April 2026 sekitar jam 5.30 petang sebelum tindakan lanjut diambil.

“Perbuatan pemandu itu sangat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan dan mengganggu tumpuan pemandu. Ia juga membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Pada masa yang sama, Lim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533 atau dimana-mana balai polis berdekatan.

“Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, dan mematuhi peraturan jalan raya,” jelasnya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Tular Pandu Bas Sambil Pangku Wanita, JPJ Sudah Rakam Keterangan Pemandu [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Kes Pemandu Bas Riba Wanita: Syarikat Bas Sri Maju Mohon Maaf & Berhentikan Pekerja Serta-Merta