Riba wanita ketika memandu: Pemandu bas, kenalan janji hadir IPD Jasin esok

LocalPolitics
14 Apr 2026 • 7:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Riba wanita ketika memandu: Pemandu bas, kenalan janji hadir IPD Jasin esok
Laporan Sinar Harian pada Selasa mengenai pemandu bas riba wanita dikenal pasti suami orang dan diburu polis.

JASIN - Pemandu bas yang tular kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dengan meriba seorang wanita ketika kenderaan sedang bergerak dijangka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kedua-dua individu berkenaan telah berjaya dikenal pasti dan dihubungi.

“Untuk makluman, pemandu telah berjaya dihubungi dan dia bersama wanita tersebut akan hadir ke IPD Jasin pada Rabu.

“Dimaklumkan wanita berkenaan kini berada di Kedah dan akan kembali ke Kuala Lumpur pada malam ini,” katanya pada Selasa.

Katanya, pemandu berkenaan turut memaklumkan bahawa dia kini berada di Sungai Besi dan akan hadir ke IPD Jasin seperti dijanjikan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum ini, kedua-dua individu terbabit diminta tampil bagi membantu siasatan berhubung rakaman video tular yang memaparkan tindakan berbahaya ketika memandu.

Kejadian berlaku ketika kenderaan berada di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Jasin dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Kulai, Johor.

Difahamkan, pemandu bas berusia 36 tahun dan merupakan suami orang, manakala wanita terbabit dipercayai kenalannya.

Susulan video tular itu, pemandu bas berkenaan telah ditamatkan perkhidmatan selain turut disiasat oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).