
KANGAR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung satu hantaran tular di media sosial berhubung kenyataan berunsur ugutan mencederakan seorang individu menggunakan sebilah pedang.
Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Zaihairul Idrus berkata, susulan penularan hantaran itu, satu tangkapan telah dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 46 tahun di Langgar, Kedah, semalam
Beliau berkata, semasa tangkapan berkenaan, polis turut menemui sebilah pedang yang ditularkan berada dalam kenderaan dipandu oleh suspek tersebut.
“Lelaki itu bertindak sedemikian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham isu peribadi,” katanya di sini hari ini.
Semalam, tular satu rakaman video di laman sosial memaparkan seorang individu yang membuat ugutan bagi mencederakan seorang individu lain dengan menggunakan sebilah pedang.
Zaihairul berkata, lelaki itu yang bekerja sendiri turut direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Jika sabit salah boleh dijatuhi hukuman pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan,” katanya.
Tambah Zaihairul, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes itu kerana boleh menimbulkan salah faham dan menganggu keharmonian masyarakat.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang dapat menganggu kententeraman awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak diluar batasan, melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sedia ada serta cuba mencetuskan provokasi atau mengugat keamanan negara,” katanya.-UTUSAN
The post Polis sahkan terima laporan berkaitan hantaran tular berunsur ugutan appeared first on Utusan Malaysia.






