Polis sahkan terima laporan penemuan bangkai kucing dalam tong sampah

7 Feb 2025 • 8:51 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video memaparkan beberapa bangkai kucing dibuang ke dalam tong sampah.

image is not available
Abdul Rozak

GEORGE TOWN - Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kematian beberapa ekor kucing yang bangkainya dibuang ke dalam tong sampah di Jelutong di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, polis mengesan satu video tular di media sosial mengenai kejadian itu pada jam 5.20 petang Rabu.

**media[2998673]**

Menurutnya, rakaman video berdurasi 30 saat itu menunjukkan beberapa bangkai kucing di dalam sebuah tong sampah berhampiran bangunan Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA).

"Polis menerima laporan sekitar jam 4.29 petang semalam daripada seorang lelaki berusia 49 tahun.

“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai ‘rujuk kepada agensi lain’, khususnya Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya telah turun padang ke lokasi penemuan bangkai haiwan tersebut untuk menjalankan siasatan awal.

"Siasatan akan diteruskan untuk mendapatkan bukti," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, tular video mengenai perkara tersebut di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warganet.

Kebanyakan warganet menyatakan kekesalan dan kemarahan mereka terhadap pelaku kepada haiwan tersebut.