Polis sahkan tiga lelaki ditahan bawa 87kg syabu di Hatyai berasal dari Sarawak

5 Aug 2026 • 8:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis sahkan tiga lelaki ditahan bawa 87kg syabu di Hatyai berasal dari Sarawak
Hussein hadir sebagai tetamu Program Waspada dengan topik Musuh Dalam Senyap: Perangi Dadah, Lindungi Generasi terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama 87 kilogram syabu di Hatyai berasal dari Sarawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki berkenaan dalam perjalanan menaiki kereta api dari Bangkok menuju ke Narathiwat.

Beliau berkata, mereka kemudiannya ditahan oleh pihak berkuasa pemeriksaan kereta api Thailand di Hatyai selepas sejumlah dadah ditemukan di dalam bagasi dan beg galas yang dibawa.

"Pihak polis Thailand dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand telah berkongsi maklumat ringkas butiran tangkapan ini kepada kami.

"Kami mempunyai kerjasama yang sangat baik dan seperti biasa, polis membiarkan pihak berkuasa negara itu menjalankan siasatan mengikut undang-undang mereka,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Waspada terbitan Bernama Radio di sini pada Rabu.

Media sebelum ini melaporkan penemuan dadah jenis methamphetamine kristal atau syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta itu adalah hasil operasi bersama membabitkan unit pencegahan narkotik Polis Hatyai, polis kereta api, polis pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9 Thailand.

Siasatan awal pihak berkuasa negara berkenaan mendapati dadah itu dipercayai untuk dihantar kepada satu sindiket pengedaran di Malaysia.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek ditawarkan upah sebanyak RM8,000 setiap seorang untuk menyeludup bahan terlarang itu ke destinasi yang ditetapkan. - Bernama

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved