Polis sahkan video tular, suspek tangkapan di Kulim positif dadah

LocalPolitics
20 Apr 2026 • 8:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis sahkan video tular, suspek tangkapan di Kulim positif dadah
Polis mengesahkan satu rakaman video tular berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan kejadian melibatkan anggota polis dan seorang suspek lelaki di Jalan Tunku Putra, di sini pada pagi Isnin.

KULIM – Polis mengesahkan satu rakaman video tular berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan kejadian melibatkan anggota polis dan seorang lelaki di Jalan Tunku Putra, di sini pada pagi Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintenden Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, dalam rakaman berkenaan, seorang suspek dilihat ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum anggota terbabit bertindak mengasarinya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi semasa anggota polis menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Jalan Sungai Ular.

"Suspek yang cuba ditahan telah bertindak melawan dengan menendang motosikal milik anggota sebelum melarikan diri dengan menunggang secara berbahaya, termasuk melawan arus dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Susulan itu, anggota polis telah melakukan pencarian sejauh kira-kira lima kilometer sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditunggang suspek menemukan dua bungkusan plastik lutsinar yang disyaki mengandungi air ketum.

Tambahnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Pihak polis percaya suspek membawa kenderaan dalam keadaan pengaruh dadah kerana urin positif.

"Kenderaan yang ditunggang oleh suspek juga dibawa secara merbahaya dan boleh membawa ancaman keselamatan jalan raya kepada masyarakat sekitar," ujarnya.

Jelas Tengku Mohd Faisal, suspek yang mempunyai satu kes rekod jenayah lampau akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kulim untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rakaman video tular berkenaan.