
BARU-baru ini tular satu video memaparkan seorang mekanik dikenali sebagai Abang Minyak Hitam membantu pemilik motosikal, Dicky Yau sehingga menyentuh hati rakyat Malaysia.
Rantai motosikalnya putus dan bahagian sproket rosak ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Namun, baki wang dalam akaunnya hanya RM176, manakala kos pembaikan mencecah RM145.
Kisah yang dikongsikan Abang Minyak Hitam itu meraih sebanyak 6.6 juta tontonan.
Menerusi video berkenaan, pemilik nama Mohd Yusof Mohd Noor bagaimanapun enggan menerima bayaran daripada Dicky kerana memahami kesulitan yang dihadapinya.
“Abang ada RM176 sahaja, boleh bayar ke? Nanti ada duit makan?
“Abang tak payah bayar, saya tahu awak susah. Anggap ini rezeki awak. Hari ini saya tolong abang, esok ALLAH tolong saya.

“Sudah ada orang bayarkan kerana ada yang infak. Tak payah bayar, okey. Saya tolong dengan ikhlas,” ujarnya, walaupun Dicky beberapa kali cuba membayar, termasuk menawarkan RM50.
Menerusi siaran langsung di Era, Dicky yang bekerja sebagai pekerja restoran berkata, insiden itu berlaku ketika dia berada di lebuh raya.
“Beberapa ratus meter sebelum susur keluar, tiba-tiba rantai putus dan sproket bahagian depan juga patah.
“Pada hari kejadian, saya baharu sahaja servis motosikal dan mekanik ketika itu memaklumkan keadaan rantai yang sudah lama,” katanya.
Dicky turut memaklumkan, dia mengetahui tentang Mohd Yusof menerusi akaun TikTok Abang Minyak Hitam, selain mendapati harga yang ditawarkan lelaki itu lebih rendah berbanding mekanik lain.

Dalam sesi 3 Pagi Era, Dicky turut mendedahkan bahawa dia sudah lapan tahun merantau ke Kuala Lumpur dan merupakan seorang bapa tunggal kepada seorang anak.
Biarpun berdepan kesukaran, dia tidak pernah berkongsi kesusahan yang dilalui, malah keluarganya hanya mengetahui perkara itu selepas kisah tersebut tular.
“Mereka risau. Walaupun mereka ada hubungi dan bertanya, saya hanya beritahu semuanya okey.
“Bahagian yang susah itu jangan ditunjukkan, simpan sendiri,” tuturnya sayu.
Kisah Dicky benar-benar meruntun hati warganet. Rata-rata memahami kesukaran yang dihadapinya, selain memuji ketulusan hati Mohd Yusof.
“Sedihnya dia tak meminta-minta. Cukup dengan apa adanya. Orang baik bertemu orang baik.
“Respons Dicky itu seperti mewakili golongan yang susah. Bukan dia seorang, ramai lagi yang menyimpan kesulitan sendiri. Keadaan sekarang juga sangat menekan. Semoga ALLAH melindungi kita semua. Aamiin.”
“Lelaki tak bercerita, tahu-tahu…”
“Hamba ALLAH ini baik, insya-ALLAH akan dibalas dengan rezeki berlipat ganda.”
“Islam itu indah kerana akhlak. Terima kasih kerana menyantuni non-Muslim dengan baik. Alhamdulillah.”
Sementara itu, menerusi satu hantaran di media sosial, pihak restoran tempat Dicky bekerja memaklumkan, dia merupakan seorang pekerja yang rajin dan sentiasa berusaha keras.
Pada masa sama, pihak berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Abang Minyak Hitam Jalanan atas bantuan yang diberikan ketika Dicky berada dalam kesulitan.
Sumber: Instagram


