Polis ‘sapu bersih’ samseng jalanan, 157 motosikal ditahan

LocalPolitics
31 Jan 2026 • 5:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara motosikal yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan dijalankan pada Jumaat.

DUNGUN – Polis menahan 157 buah motosikal selepas menumpaskan beberapa kumpulan samseng jalanan yang dikesan menjadikan kawasan sekitar bandar di sini sebagai litar bagi melakukan aksi berbahaya dalam Ops Samseng Jalanan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, dalam operasi yang bermula jam 6 petang itu, sebanyak 259 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Menurutnya, tindakan berkenaan diambil hasil risikan serta aduan penduduk setempat yang terganggu dengan aktiviti kumpulan terbabit.

“Operasi dijalankan di Jalan Batu 49 hingga Lampu Isyarat Alor Tempoyak serta Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung.

“Sebanyak 157 motosikal ditahan membabitkan penunggang berusia antara 15 hingga 30-an,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi di sini.

Beliau berkata, operasi itu berakhir kira-kira jam 2 pagi dan kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Maizura berkata, antara kesalahan yang dikesan termasuk tiada lesen memandu, pengubahsuaian struktur motosikal, penggunaan ekzos bising serta cukai jalan tamat tempoh.

“Polis akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi membendung aktiviti samseng jalanan serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved