Polis Selangor sahkan 12 anggota polis ditahan berhubung isu kripto

LocalPolitics
19 Feb 2026 • 8:11 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis Selangor mengesahkan 12 anggota polis telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung satu kes samun melibatkan kerugian mata wang kripto milik seorang warga asing yang dilaporkan berlaku di daerah Kajang awal bulan ini.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6 Februari lepas kira-kira 2.06 petang.

“Susulan laporan itu, tindakan segera telah diambil sehingga membawa kepada penahanan 12 anggota polis bagi membantu siasatan.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan siasatan masih dijalankan,” katanya, lapor Bernama.

Terdahulu media melaporkan, 12 anggota polis termasuk empat pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan kerana disyaki terbabit dalam rompakan berkumpulan melibatkan RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.

Mereka yang ditahan termasuk Superintendan, Inspektor, sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel berusia antara 24 hingga 47 tahun.

Dalam pada itu, Shazeli menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dalam aktiviti jenayah.

Shazeli turut meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan. - 19 Februari, 2026

The post Polis Selangor sahkan 12 anggota polis ditahan berhubung isu kripto appeared first on Scoop.