
PEKAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap penahanan 30 rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Darat di Indonesia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan antaranya akan menjurus sama ada wujud satu jenayah bersindiket atau hanya melibatkan 30 suspek yang ditahan tersebut sahaja.
“Sebab berlaku semalam, jadi saya akan semak dengan bahagian CID (Bahagian Siasatan Jenayah) atau bahagian jenayah komersial mengenai tindakan susulan diambil.
“Kerana sifat jenayah itu adalah soal penipuan dalam talian amalannya adalah Indonesia akan hubungi polis kita, tujuan memberikan ruang kepada kita melakukan siasatan dari sudut pandang kita,” katanya pada Majlis Peluncuran Program Kampung Angkat dan Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Nenasi, di sini, hari ini.
Hari ini media melaporkan pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warganegara Taiwan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak Kalimantan Barat.
Ketua Pejabat Imigresen Pontianak, Sam Fernando dilaporkan berkata, rakyat Malaysia berkenaan yang terdiri daripada 22 lelaki dan lapan wanita serta seorang lelaki Taiwan itu dibawa ke Pusat Tahanan Imigresen Pontianak untuk disoal siasat.
Kata Sam Fernando berdasarkan siasatan awal sasaran kumpulan berkenaan adalah untuk menipu warga Malaysia dan tiada warga Indonesia dalam sasaran mereka.
Menurut Saifuddin hubungan antara polis Malaysia dan polis Indonesia sangat baik yang mana mereka akan berkongsi maklumat untuk membantu siasatan.
Katanya, berdasarkan hasil maklumat yang diperolehi nanti akan membolehkan pihak berkuasa melakukan tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE
The post Polis siasat 30 rakyat Malaysia ditahan di Indonesia terlibat sindiket appeared first on Kosmo Online.




