Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan mengenai empat anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang dipercayai menyerbu sebuah kediaman tanpa waran serta didakwa melakukan pemerasan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata siasatan dijalankan selepas rakaman video berkaitan kejadian itu dimuat naik di akaun Facebook ‘En Abdul’ pada jam 1 tengah hari semalam.
“Siasatan mendapati serbuan dilakukan oleh BSJN IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 10 Oktober 2024 ketika Op Tapis di kawasan Damansara.
“Siasatan dibuka bagi menyiasat dakwaan yang ditularkan, dan tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud salah laku dalam kejadian ini,” katanya.
Terdahulu, pengadu mendakwa empat anggota terbabit meminta mereka membuka pintu tanpa menunjukkan waran. Ketika pengadu enggan memberi laluan tanpa dokumen rasmi, anggota berkenaan didakwa bertindak memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman itu serta mengambil kad memori CCTV tersebut.
Lebih mengejutkan, pengadu turut mendakwa dirinya diperas untuk membayar RM12,000 bagi menyelesaikan isu tersebut. Disebabkan itu, dia mendakwa terpaksa meminjam wang daripada rakannya kerana bimbang keselamatan ahli keluarganya, termasuk seorang anak kecil.
Selain itu, pengadu turut menuduh individu yang sama menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam aktiviti tidak beretika, termasuk menjual air ketum serta melakukan pemerasan terhadap pihak lain.
Bagaimanapun, buat masa ini, polis masih dalam proses menyiasat dakwaan tersebut, termasuk meneliti video yang tersebar bagi menentukan kesahihan insiden berkenaan.
Sumber: Berita Harian, FB En Abdul
The post Polis siasat dakwaan anggota BSJN PJ serbu rumah & peras ugut appeared first on The Reporter.


