
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Baru-baru ini, tular di media sosial video sebuah majlis akikah yang diadakan oleh seorang pempengaruh bersama isteri serta anak-anaknya.
Menerusi video tular itu, kelihatan pempengaruh berkenaan bersama ahli keluarganya berpakaian serba kuning siap dengan tengkolok persis seorang raja.
Malah, dia dan anak-anaknya dilihat berarak dan menolak kereta sorong bayi di atas karpet berwarna kuning selain isterinya turut diangkat seperti seorang permaisuri.
Video tular itu nyata menarik perhatian hingga ia menjadi bualan ramai dan mendapat kecaman selain ada yang mempersoalkannya kerana dilihat tidak menghormati institusi diraja.
Polis Jalankan Siasatan Selepas Tular Video Salah Guna Lambang Raja
Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung sebuah video majlis akikah yang dikatakan meniru gaya istiadat kerabat diraja.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam satu kenyataan, video tular itu memaparkan sebuah keluarga berpakaian serba kuning dan bertengkolok seakan-akan istiadat diraja dalam satu majlis akikah yang dipercayai menyalahgunakan lambang diraja.
Polis Turut Siasat Hantaran Hina Pemimpin & Kerajaan
Dalam pada itu, pihaknya juga menjalankan siasatan terhadap dua lagi video tular di aplikasi TikTok berhubung penghinaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
Jelasnya, ketiga-tiga video termasuk video pempengaruh berkenaan jelas menunjukkan penyalah gunaan media sosial dan kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan dalam masyarakat.
“Kes pertama melibatkan bekas penjawat awam menggunakan akaun TikTok @zamanharris82 yang membuat komen berbaur hasutan.
“Kes kedua pula membabitkan hantaran pengguna akaun @no.wad yang mempertikai tindakan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru, dipercayai boleh mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara,” katanya.
Kes Disiasat Mengikut Beberapa Peruntukan Undang-Undang
Tambah M Kumar, kesemua kes tersebut kini disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang.
Ketiga-tiga seksyen tersebut adalah:
- Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948
Perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut. Jika disabit kesalahan, denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
- Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama 1963
Tiada siapa dibenarkan mengguna lambang atau nama yang dilindungi (yang disenaraikan dalam jadual akta) untuk tujuan perniagaan atau komersial, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada menteri yang berkaitan. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 di bawah Seksyen 5 akta yang sama.
- Seksyen 505(b) dan 505(c) Kanun Keseksaan
Bagi Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, ia merujuk kepada kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebarkan atau mungkin menyebarkan ketakutan atau kegentaran awam. Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan merujuk kepada kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran atau huru-hara dalam kalangan orang awam khususnya berkaitan hasutan terhadap kumpulan atau kaum. Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan hukuman penjara bagi tempoh sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
- Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. Jika disabitkan kesalahan, denda tidak melebihi lima ratus ribu atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“PDRM tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan berhemah serta bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun media sosial,” katanya.
KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAH Siasatan Penularan Hantaran Berunsur Hasutan, Penghinaan dan…
Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Tuesday 16 September 2025
Source:




