
SEREMBAN: Polis membuka kertas siasatan berhubung rakaman video yang dimuat naik di media sosial kerana didakwa mengandungi kenyataan yang memberi gambaran bahawa institusi diraja Negeri Sembilan dikuasai oleh sebuah parti politik.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung video berkenaan sebelum membuka kertas siasatan.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis sedang menjalankan siasatan bagi meneliti keseluruhan kandungan video serta konteks ucapan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan kandungan tersebut sehingga boleh menjejaskan siasatan serta ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, polis memandang serius sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menggugat keharmonian masyarakat atau menjejaskan institusi diraja. – UTUSAN
The post Polis siasat video dakwa institusi diraja dikuasai parti politik appeared first on Utusan Malaysia.






