Polis Sita 15 Basikal Lajak, Panggil Ibu Bapa 52 Remaja Terlibat

15 Dec 2022 • 9:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Sebahagian daripada 15 basikal yang disita pihak berkuasa PDRM milik remaja berusia seawal sembilan hingga 14 tahun. - Gambar ihsan PDRM

PETALING JAYA - Seramai 52 remaja bawah umur diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Basikal Lajak yang dijalankan di sekitar Jalan PJS 1 hingga Jalan PJS 5 di sini.

Dalam operasi bermula 1 hingga 3 Disember itu, sebanyak 11 saman dikeluarkan terhadap ibu bapa remaja terbabit.

Menurut peruntukan undang-undang, tiada mana-mana individu boleh menunggang basikal melainkan ia dilengkapi dengan brek efektif yang beroperasi secara berasingan pada kedua-dua tayar.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkruddin Abdul Hamid berkata, dalam operasi tersebut, 15 basikal disita daripada kesemua 52 remaja berusia seawal sembilan hingga 14 tahun yang diperiksa.

image is not available
Gambar ihsan PDRM

“Tangkapan dan sitaan dilakukan mengikut Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan penunggang basikal lajak ditahan tanpa waran seperti diperuntuk Seksyen 112(1)(A) akta sama.

“Ibu bapa dan penjaga kepada setiap penunggang basikal lajak bawah umur oni telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan diberi peringatan mengenai tanggungjawab untuk mengawasi serta memastikan keselamatan anak masing-masing,” katanya, hari ini.

Menurut  beliau, ibu bapa kepada anak yang terlibat dalam kegiatan basikal lajak hingga membahayakan diri dan pengguna jalan raya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

Mohamad Fahkruddin turut mengingatkan semua pengguna jalan raya, khususnya penunggang basikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan.

“Ia adalah untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya khususnya di kawasan pentadbiran Petaling Jaya terjamin.

“Penguatkuasaan lalu lintas terhadap basikal lajak akan dijalankan secara berterusan bagi mendidik masyarakat mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya,” katanya. - Getaran, 15 Disember 2022