Polis tahan 14 individu, rampas mercun dan bunga api bernilai lebih RM100,000

5 Apr 2023 • 10:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA BHARU: Polis menahan 13 lelaki dan seorang wanita warga tempatan di enam daerah di Kelantan serta merampas pelbagai mercun dan bunga api bernilai lebih RM100,000 daripada mereka sejak 25 Mac lepas hingga hari ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata penahanan dan rampasan dilakukan di Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Machang, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

“Secara keseluruhan bagi tempoh 25 Mac hingga hari ini, sebanyak 15 kes tangkapan dan rampasan mercun dan bunga api telah berjaya dilakukan membabitkan nilai rampasan RM115,679,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua 14 individu berkenaan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Polis mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menawarkan sebarang penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis terlebih dahulu.

“Individu yang mempunyai permit menjual mercun pula perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya. - Bernama