Polis tahan 17 individu sedang leka berjudi di Air Hitam

24 Aug 2022 • 5:42 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Polis menahan 17 individu yang sedang leka berjudi dalam serbuan menerusi Op Dadu di sebuah premis di kawasan Air Itam, di sini Isnin lepas dan merampas wang tunai RM30,316 dipercayai hasil kegiatan perjudian tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pihaknya menyerbu premis berkenaan pada 5.30 petang dan mendapati sembilan lelaki serta lapan wanita termasuk seorang warga asing sedang leka berjudi.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 34 hingga 77 tahun dan siasatan mendapati seorang daripada tahanan lelaki itu disyaki penganjur kegiatan perjudian tersebut yang dipercayai baru sahaja menjadikan premis itu sebagai tempat berjudi.

“Dalam serbuan itu, pihak polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk bermain judi jenis belangkas dan wang tunai sebanyak RM30,316 dipercayai hasil kegiatan perjudian tersebut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya kesemua suspek direman dua hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.-Bernama