Polis Tahan 3 Lelaki Suspek Kes Tetak Di Seremban

LocalPolitics
16 Apr 2025 • 4:55 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohammad Hatta Che Din - Gambar BERNAMA

SEREMBAN - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian tetak menggunakan parang di sebuah pusat membeli-belah di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohammad Hatta Che Din berkata, ketiga-tiga suspek berumur 35 hingga 47 tahun itu ditahan di sekitar Port Dickson pada 5 petang, dalam masa sekitar 24 jam selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai kejadian.

Beliau berkata polis turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian.

"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah termasuk berkaitan keganasan dan dadah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohammad Hatta berkata semua suspek kini direman tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Semalam media melaporkan seorang lelaki cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah pusat beli-belah Isnin lepas. - BERNAMA