Polis tahan dalang sindiket seludup dadah bernilai lebih RM160,000

LocalPolitics
29 Oct 2024 • 2:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Polis menahan seorang buruh warga Indonesia dipercayai dalang sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi jalan laut ditahan menerusi Op Tapis. Foto hiasan

MELAKA - Seorang buruh warga Indonesia dipercayai dalang sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi jalan laut ditahan menerusi Op Tapis, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 pagi, ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu bernilai RM161,696 di pesisir pantai di Kota Syahbandar di sini.

"Ketika ditahan, suspek dipercayai dalam percubaan menyeludup dadah disyaki syabu itu yang diperoleh dari selatan Thailand ke Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, syabu dirampas dengan anggaran berat 5,053 gram itu diisi dalam lima paket lutsinar yang ditemukan di dalam beg galas dibawa suspek.

Zainol berkata, siasatan awal mendapati warga Indonesia itu merupakan sebahagian rangkaian penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini yang bergerak aktif sejak pertengahan September.

"Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 25,265 penagih dadah dan ujian air kencing dijalankan terhadap lelaki itu adalah negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Suspek direman selama tujuh hari hingga 3 Nov depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya. - Bernama


Empat lelaki ditahan, dadah bernilai RMRM17,364 dirampas

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM17,364 dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya metahan seorang lelaki warga tempatan di tepi Jalan Ipoh Kecil di sini pada jam 11.45 malam.

"Hasil pemeriksaan, pihak polis berjaya merampas dadah jenis methamphetamine (anggaran berat 50.80 gram), erimin 5 (0.7 gram), serta pil yaba (1.3 gram)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sulizmie Affendy berkata, hasil soal siasat, pihak polis telah melancarkan dua serbuan berasingan di kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Dalam serbuan tersebut pihak polis telah menahan tiga lelaki tempatan dan merampas dadah methamphetamine (78.6 gram), heroin (57.6 gram), erimin5 (8.76 gram) dan pil yaba (8.0 gram)," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan berusia 37 hingga 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun lalu.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, morphine.

"Hasil semakan rekod juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Menurutnya, turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga dan wang tunai RM200 dipercayai hasil daripada jualan dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.