
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Selain menjadi medium perhubungan dan penyampaian maklumat, media sosial juga menjadi platform orang ramai untuk meluahkan pendapat peribadi mengenai sesuatu perkara.
Pendapat atau pandangan yang diutarakan oleh kebanyakan pengguna media sosial kebiasaannya berkaitan isu semasa atau viral.
Namun, ada segelintir netizen yang dilihat ‘terlebih berani’ apabila mengeluarkan komen atau pandangan tersendiri yang berunsur ancaman khususnya terhadap pemimpin negara dan kerajaan semasa.
Ugut PMX & Keluar Kenyataan Berunsur Hasutan, 2 Lelaki Ditahan Polis
Terbaharu, polis menahan dua orang lelaki yang berumur 44 serta 45 tahun kerana disyaki memuat naik hantaran berunsur ugutan dan dakwaan palsu di platform media sosial.
Ia termasuklah ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, penahanan itu melibatkan kes berasingan membabitkan hantaran di TikTok dan Facebook.
“Kes pertama membabitkan hantaran akaun TikTok menggunakan nama Mohd Soie yang mengandungi unsur hasutan serta penghinaan terhadap kerajaan.
“Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Jelas M Kumar lagi, kes kedua melibatkan komen oleh akaun Facebook Md Johan Ngadin yang berbaur ugutan jenayah terhadap PMX.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.
[ 𝗦𝗜𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗠𝗘𝗗𝗜𝗔 ] 𝗣𝗘𝗡𝗚𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗝𝗔𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗔𝗦𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗝𝗘𝗡𝗔𝗬𝗔𝗛 “𝗦𝗜𝗔𝗦𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗣𝗘𝗡𝗨𝗟𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗞𝗘𝗡𝗬𝗔𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗥𝗨𝗡𝗦𝗨𝗥 𝗛𝗔𝗦𝗨𝗧𝗔𝗡, 𝗨𝗚𝗨𝗧𝗔𝗡 𝗝𝗘𝗡𝗔𝗬𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡…Posted by Jabatan Siasatan Jenayah – JSJ PDRM on Sunday 7 September 2025
Tindakan Akan Diambil Buat Individu Yang Muat Naik Hantaran Unsur Ugutan & Berita Palsu
Tambahnya lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran bahawa tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat, memuat naik, berkongsi atau menyebarkan hantaran berunsur hasutan, ugutan jenayah dan berita palsu.
Amaran tersebut termasuklah kandungan yang boleh mencetuskan kegentaran awam serta menganggu keharmonian dengan tindakan penguatkuasaan yang diambil akan dilakukan tanpa kompromi.
Tular Komen Berbaur Ugutan Rumah PMX Akan Dibakar
Sebelum ini, tular di media sosial tangkap layar sebuah komen oleh seorang pengguna Facebook yang mendakwa kediaman Perdana Menteri hanya menunggu masa untuk dibakar.
Kenyataan itu nyata menarik perhatian hingga ramai yang mahu PDRM mengambil tindakan terhadap individu tersebut yang dilihat sebagai satu ugutan.



Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Muat Naik Video Hina Anwar Ibrahim Ditahan Polis
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ugut Nak Baling Mercun Pada PM Anwar Ditahan Reman
Source:



