Polis tahan dua remaja Thailand yang minta sedekah, salah guna surat kebenaran

7 Aug 2023 • 6:22 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

IPOH: Polis menahan dua remaja warga Thailand yang sedang meminta sedekah daripada orang ramai di hadapan sebuah bank di Gopeng, semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kedua-dua suspek berumur 17 tahun itu didapati memasuki Malaysia menggunakan pas lawatan, dan menjadi sukrelawan bagi Pertubuhan Kebajikan Raudhah Malaysia (PKRM) Perak.

“Salah seorang daripada suspek didapati memiliki pas lawatan yang telah tamat tempoh. Kedua-dua suspek didapati secara salah menggunakan satu surat sokongan yang ditandatangani Ketua Polis Perak, dengan memegang tabung yang telah dilekatkan surat itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(3) Akta Pungutan Derma Rumah Ke Rumah dan Jaln 1947 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.

Mohd Yusri seterusnya mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalah guna sebarang kebenaran diberikan bagi tujuan yang menyalahi undang-undang, dan mereka yang mempunyai maklumat berkenaan perkara ini boleh menghubungi pihak polis di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama