
GEORGE TOWN, 1 OKT: Polis Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.44 juta dan menahan empat individu termasuk sepasang kekasih, dalam tiga operasi berasingan di negeri itu menerusi serbuan antara 21 dan 27 Sept lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata dalam tiga serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri itu, membawa kepada rampasan 8.83 kilogram (kg) heroin, 15.06kg serbuk jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), lima liter cecair MDMA, 182 biji pil ekstasi dan 70 gram (g) ketamin.
“Dalam operasi pertama pada 3.30 petang 21 Sept di tepi jalan di Jalan Masjid Negeri, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dan hasil soal siasat, suspek membawa polis ke sebuah kereta yang diletakkan di kawasan tersebut, yang dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah serta peralatan memproses dadah.
“Hasil pemeriksaan menemukan 8.83kg heroin, 5.35kg serbuk kafein serta peralatan memproses heroin dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM443,518, suspek dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket, sebelum membungkusnya semula dan menjual kepada pembeli,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Lim berkata pada hari berikutnya kira-kira 8.50 malam, polis menjalankan dua serbuan di sekitar Jalan Tun Dr Awang dan Sungai Nibong Kecil, sebelum menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing, yang kesemuanya berusia antara 27 dan 42 tahun.
Beliau berkata berkata polis merampas 3.26kg serbuk MDMA dan lima liter cecair MDMA yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta dan siasatan mendapati pasangan kekasih itu bekerja di pusat hiburan serta mereka mendapatkan bekalan MDMA tersebut, daripada sindiket pengedaran dadah.
Lim berkata mereka kemudiannya menjual serbuk MDMA yang dibungkus dalam bungkusan minuman segera di pusat-pusat hiburan di sekitar negeri itu dan mampu mengaut keuntungan puluhan ribuan ringgit setiap bulan.
“Dalam operasi ketiga kira-kira 11.30 malam 27 Sept, polis daripada Balai Polis Machang Bubuk, menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di Jalan Seladang, Bukit Mertajam dekat sini dan hasil pemeriksaan terhadap keretanya, polis merampas 11.8kg serbuk MDMA, 182 biji pil ekstasi, heroin dan 70g ketamin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
“Suspek yang tidak bekerja dipercayai mendapat bekalan dadah daripada rangkaian pengedaran dadah, sebelum membungkusnya semula dalam bungkusan minuman segera dan menjual kepada pelanggannya di pusat hiburan di sekitar negeri ini,” katanya.
Lim berkata hasil risikan mendapati, keempat-empat suspek dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di Pulau Pinang sejak Julai lepas, namun tiga sindiket tersebut tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
Beliau berkata saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, manakala semakan mendapati seorang daripada mereka iaitu suspek pertama mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta narkotik lampau.
“Susulan tiga serbuan itu, polis turut menyita enam buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM58,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan serta kes tersebut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-- BERNAMA






