Polis tahan empat individu, rampas rokok, arak lebih RM143,000

10 Apr 2026 • 3:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan berkenaan pada Khamis.
image is not available
Polis menyerbu dua premis di kawasan perindustrian Muadzam Shah, Rompin pada Khamis.

KUANTAN – Polis menahan empat individu serta merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak bercukai bernilai RM143,842.50 dalam serbuan di dua premis di kawasan perindustrian Muadzam Shah, Rompin pada Khamis.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, operasi itu dijalankan oleh pasukan risik Polis Diraja Malaysia melalui Cawangan Risik PSP Bukit Aman Zon Timur.

"Dalam operasi berkenaan, dua lelaki tempatan dan dua wanita warga Myanmar ditahan. Dua warga asing itu ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah mengikut Akta Imigresen 1959/63.

"Kesemua suspek turut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak bercukai," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

**media[3487336]**

Rosli berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk menyimpan atau menjual minuman keras.

"Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM143,842.50, melibatkan minuman keras bernilai lebih RM100,000 serta rokok hampir RM43,000," katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan serta tindakan proaktif pasukan dalam mengekang aktiviti penyeludupan dan penjualan barangan tidak bercukai.

"Kegiatan sedemikian bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan dan kesihatan awam sekiranya produk yang diedarkan tidak melalui kawalan yang sewajarnya," katanya.

Rosli berkata, pihaknya akan mempergiatkan operasi serta pemantauan secara berterusan.

Katanya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti haram itu.

Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama orang ramai amat penting dalam menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan itu secara lebih berkesan.

"Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin untuk tindakan lanjut," katanya.