Polis tahan enam lelaki, rampasan RM10.28 juta di Pelabuhan Kuantan

20 Apr 2026 • 5:25 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis tahan enam lelaki, rampasan RM10.28 juta di Pelabuhan Kuantan
Pihak berkuasa turut merampas sebuah kapal korek pasir bersama paip, dua jengkaut, sebuah jentolak serta kira-kira 250 tan pasir laut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.28 juta. Foto PGA Briged Tenggara
Image from: Polis tahan enam lelaki, rampasan RM10.28 juta di Pelabuhan Kuantan
Enam lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemindahan bahan batuan dipercayai pasir laut secara tidak sah. Foto PGA Briged Tenggara

KUANTAN - Polis menahan enam lelaki termasuk dua warga Indonesia disyaki terlibat dalam kegiatan pemindahan bahan batuan dipercayai pasir laut secara tidak sah di Pelabuhan Kuantan, Gebeng pada Ahad.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam hantaran di Facebook memaklumkan kesemua suspek ditahan oleh anggota Batalion 7 PGA dengan kerjasama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) menerusi Ops Bersepadu Khazanah kira-kira 10 pagi.

Menurut kenyataan itu, pihak berkuasa turut merampas sebuah kapal korek pasir bersama paip, dua jengkaut, sebuah jentolak serta kira-kira 250 tan pasir laut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM10.28 juta.

"Hasil siasatan awal mendapati tapak berkenaan dimiliki sebuah syarikat tempatan yang menjalankan kerja pembinaan di kawasan laut dan lokasi itu dipercayai sedang dibangunkan sebagai hab maritim baharu,” menurut kenyataan itu.

**media[3497072]**

Kenyataan itu turut memaklumkan aktiviti penambakan pantai menggunakan pasir laut dipercayai bermula sejak Mac lepas dengan menggunakan kapal korek di tengah laut.

"Semakan lanjut mendapati kerja pengorekan pasir itu tidak mempunyai lesen atau kelulusan sah daripada pihak berkuasa berkaitan,” menurut kenyataan itu.

PGA Briged Tenggara memaklumkan kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada UPNP untuk tindakan lanjut manakala sampel pasir turut dihantar ke Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk dianalisis. - Bernama