Polis tahan lelaki didakwa tendang, pukul sekumpulan remaja dengan helmet

LocalPolitics
16 Dec 2025 • 8:46 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam penderaan terhadap kanak-kanak termasuk memukul mereka dengan helmet di sebuah premis perniagaan di Kota Kinabalu, Sabah.

Ia susulan penularan klip video yang memaparkan sekumpulan remaja, dipercayai pelajar sebuah madrasah dipukul oleh lelaki berkenaan, yang berusia dalam lingkungan 30-an.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Kasim Muda, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11.55 malam dan suspek disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

“Selain itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau turut memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan peranan individu terbabit berdasarkan rakaman video yang tular.

“Individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Klip video berdurasi satu minit 30 saat itu turut dimuatnaik oleh selebriti Caprice yang menunjukkan seorang lelaki memukul sekumpulan remaja di sebuah premis.

Selain memukul dengan helmet, dia turut menendang pelajar berkenaan.

Perbuatan berkenaan mengundang kemarahan dan kecaman ramai yang turut menggesa polis mengambil tindakan segera. - 16 Disember, 2025

The post Polis tahan lelaki didakwa tendang, pukul sekumpulan remaja dengan helmet appeared first on Scoop.