
Polis Tahan Pasangan Kekasih, Disyaki Beri Bayi 16 Bulan Dadah
Polis telah menahan sepasang kekasih selepas disyaki memberi dadah terhadap bayi berusia 16 bulan dalam kejadian di Iskandar Puteri, Johor baru-baru ini.
Menurut Sinar Harian, bayi berkenaan dipercayai anak kandung kedua-dua suspek, yang masing-masing berusia 34 dan 31 tahun.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pasangan kekasih itu ditahan pada 12 Disember lalu.
Pihaknya menerima aduan daripada hospital apabila mendapati bayi malang yang masih kecil itu positif dadah.
Susulan itu, pihak polis telah memburu kedua-dua suspek dan penahanan dibuat di dua lokasi yang berbeza di sekitar Iskandar Puteri.
“Aduan diterima selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru membuat laporan mengenai bayi malang itu yang didapati positif dadah.
“Ibu bayi berkenaan telah ditahan di HSA pada 12 Disember manakala pasangannya ditahan di Jalan Salleh, di bandar raya ini,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Rahmat berkata bahawa pemeriksaan ujian air kencing telah dijalankan ke atas kedua-dua suspek berkenaan.
Hasil ujian air kencing mendapati kedua-duanya positif.
“Kedua-duanya sudah dituduh di mahkamah pada Khamis mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana menyebabkan seorang bayi positif dadah.
“Namun mereka tidak mampu bayar jamin ditetapkan sebanyak RM6,000 dan kini ditahan di Penjara Koreksional Ledang dan Penjara Kluang
“Kes akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 23 Januari depan,” jelasnya.
Bayi perempuan 22 bulan positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine
Terdahulu dalam kes berasingan, seorang bayi perempuan berusia 22 bulan disyaki positif dadah ketika menerima rawatan di Hospital Taiping pada Julai lalu.
Pihak polis telah menerima laporan daripada pihak hospital apabila mangsa didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Tindakan susulan telah diambil dengan melakukan tangkapan ke atas ibu bayi perempuan yang merupakan seorang suri rumah berusia 22 tahun.
Hasil ujian saringan awal mendapati suri rumah itu turut positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau dalam kes dadah.
Sumber: Sinar Harian
The post Polis Tahan Pasangan Kekasih, Disyaki Beri Bayi 16 Bulan Dadah appeared first on Siakap Keli.
