KUCHING - Polis mengesahkan pihaknya telah menahan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah antarabangsa swasta di Kuching kerana disyaki menyerang seorang guru menggunakan objek tajam dipercayai kapak.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Saifullizan Ishak berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.49 pagi tadi dengan maklumat awal diterima Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching sekitar jam 8.03 pagi.
Mangsa, seorang guru wanita, dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan dan telah dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Guru dikejarkan ke hospital selepas rampas objek tajam dibawa pelajar
Saifullizan turut mengesahkan, suspek yang berusia 16 tahun telah ditangkap dan kini masih ditahan untuk siasatan lanjut.
Siasatan awal katanya, mendapati suspek turut membawa mercun ketika kejadian dengan kedua-dua senjata tersebut kemudian dirampas pihak polis.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian serta mendapatkan bukti-bukti berkaitan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini.
Ia demi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat.
Sementara itu, tular di media sosial rakaman penstriman langsung dari sudut pandang remaja tersebut ketika kejadian pagi tadi.
Manakala satu lagi rakaman, dipercayai daripada kamera litar tertutup di bilik darjah tersebut menyaksikan suspek menyerang guru terbabit, sebelum mengejar seorang lagi mangsa lain, dalam tempoh kurang seminit sebelum ditahan oleh beberapa pelajar lain di kelas berkenaan. - Awani






