
SEBERANG PERAI – Kecederaan pada kepala dikenal pasti sebagai punca kematian seorang bayi lelaki berusia 10 bulan yang meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan lemah di rumah pengasuhnya di Tasek Gelugor di sini, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, ini berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa di Hospital Kepala Batas semalam.
“Doktor mengesahkan terdapat kecederaan konsisten pada kepala akibat trauma daya tumpul yang berpotensi membawa maut.
“Bagaimanapun, doktor tidak dapat menentukan sama ada kecederaan itu berpunca daripada kemalangan atau perbuatan orang lain, termasuk jumlah impak, objek yang digunakan serta masa sebenar kecederaan berlaku,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan naluri seorang ibu yang berasa tidak sedap hati membawa khabar duka apabila bayinya berusia 10 bulan meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pengasuh, kelmarin.
Mangsa, Muhammad Faris Syazwan Muhammad Zulkarnain, dilaporkan berada dalam keadaan lemah sebelum disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik.
Semalam, media melaporkan seorang wanita berusia 25 tahun yang merupakan pengasuh kepada bayi berkenaan direman selama tujuh hari bermula 20 Oktober lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-KOSMO! ONLINE
The post Bayi 10 bulan maut akibat cedera pada kepala appeared first on Kosmo Online.





