
Polis mengesahkan penahanan seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah antarabangsa swasta di Kuching selepas disyaki mencederakan seorang guru menggunakan senjata tajam yang dipercayai kapak.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 kira-kira jam 8.03 pagi.
Menurutnya, maklumat awal mendapati pelajar lelaki terbabit dipercayai telah mencederakan seorang guru wanita menggunakan kapak.
“Mangsa, seorang guru wanita, dilaporkan mengalami kecederaan luka pada tangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Saifullizan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957 berhubung pemilikan mercun yang dilaporkan dalam kejadian itu.
Katanya, polis kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian selain mengumpulkan bukti berkaitan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung insiden berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini, demi menghormati proses siasatan dan menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Facebook Polis Sarawak
The post Polis tahan pelajar 16 tahun serang guru guna kapak appeared first on The Reporter.






