
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui memandu di bawah pengaruh alkohol merupakan kesalahan undang-undang serius dan boleh dikenakan tindakan.
Meskipun sudah berulang kali perkara ini dimaklumkan menerusi pelbagai platform termasuk media namun masih ada yang berdegil.
Malah terdapat banyak kes kemalangan yang berlaku membabitkan pemandu mabuk namun ia tidak dijadikan iktibar oleh segelintir pihak.
Lelaki rempuh palang keselamatan pintu 2 Istana Negara
Terbaharu, seorang lelaki telah ditahan polis selepas bertindak merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara di Jalan Changkat Semantan, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi.
Jelas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa maklumat mengenai insiden itu diterima polis pada jam 3.30 pagi.
Walau bagaimanapun, pemandu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun dari arah Bukit Damansara merempuh ‘bollard pole’ dan ‘barrier gate’ Pintu 2 Istana Negara.
“Tiada kecederaan dilaporkan kepada pemandu atau mana-mana pihak lain. Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bahagian hadapan kenderaan serta palang keselamatan terbabit,” ujarnya, lapor Harian Metro.
Siasatan dijalankan termasuk dapatkan rakaman CCTV, rekod percakapan dan ujian pernafan
Menurut beliau lagi, siasatan turut dilakukan di lokasi insiden termasuk mendapatkan rakaman litar tertutup (CCTV) serta rakaman percakapan juga diambil dan melakukan ujian pernafasan ke atas pemandu lelaki itu.
“Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166mg/100ml, iaitu melebihi had yang ditetapkan.”
Pemandu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini
Pemandu berkenaan turut ditahan serta kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada hari sama (23 Januari) sebelum mendapatkan arahan agar lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Suspek turut dijangkan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari ini (23 Januari).
