Polis Tahan Tiga Lelaki Disyaki Terlibat Kes Bunuh Di Bera

7 Jul 2022 • 9:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUANTAN - Polis menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dengan kes bunuh seorang wanita dua hari lepas di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Bera, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata semua suspek yang berusia lingkungan 30-an direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis turut berjaya merampas sebuah kenderaan jenis Honda City yang dipercayai milik suami mangsa yang telah dilarikan suspek pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian awal pagi dua hari lepas seorang wanita berusia 52 tahun maut dipercayai akibat dijerut menggunakan kabel pengecas telefon, manakala suaminya berusia 60 tahun turut cedera di bahagian kepala dalam kejadian samun di rumah mereka.

Dalam kejadian itu, suspek dipercayai turut melarikan wang tunai kira-kira RM6,000 serta kereta jenis Honda City milik suami mangsa. - Bernama