Polis tangkap suspek ‘pencabut batu nisan’

LocalPolitics
16 Mar 2025 • 9:33 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Amir Anuar

TAWAU: Polis menangkap suspek ‘pencabut batu nisan’ dalam kejadian gempar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bombalai di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki warga tempatan berumur 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian pada jam 2 petang.

“Tangkapan dijalankan susulan laporan polis daripada penduduk kampung sebelum sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai bertindak menahan suspek,” katanya.

Jasmin dalam kenyataannya berkata polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan awam dan akan mengambil tindakan sewajarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung motif sebenar kejadian terbabit dan akan mengambil tindakan terhadap sesiapapun yang terlibat.

“Suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda,” katanya.

Pada masa sama, orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit sehingga mengganggu siasatan.

Terdahulu, orang ramai digemparkan dengan video tular di media sosial yang memaparkan situasi ‘kuburan-kuburan tanpa batu nisan’ di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Bombalai.

Kejadian itu mengundang kegelisahan dan kemarahan awam, malah orang ramai tertanya-tanya motif sebenar di sebaliknya.

Harian Ekspres turut melaporkan kira-kira 40 batu nisan yang ‘hilang’ disyaki dicabut dan dirosakkan dari lokasi itu.

Batu-batu nisan terbabit ditemui di sekitar tapak perkuburan itu, bagaimanapun terdapat batu nisan yang sudah rosak malah ada dipecahkan.