Polis teliti rakaman CCTV, dashcam buru suspek serang pengkritik bola sepak

LocalFootball
14 Jul 2026 • 3:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis teliti rakaman CCTV, dashcam buru suspek serang pengkritik bola sepak
Tangkap layar video tular seorang YouTuber dan pengkritik sukan cedera dipukul individu tidak dikenali di Bandar Sri Damansara pada Sabtu lalu.

PETALING JAYA - Polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi mengesan suspek yang menyerang seorang pengkritik bola sepak tempatan di Bandar Sri Damansara di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci dari pelbagai sudut berhubung kejadian itu dan giat mengumpul bukti bagi mengenal pasti individu yang terlibat.

"Kita sedang menganalisis rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian selain mendapatkan rakaman dashcam daripada kenderaan awam yang berada di kawasan berkenaan ketika insiden berlaku.

"Kita akan memanggil dan merakam percakapan saksi-saksi yang boleh membantu siasatan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata, punca sebenar serangan berkenaan masih belum dapat dipastikan dan motif kejadian kini sedang disiasat.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat palsu yang boleh mengganggu kelancaran siasatan polis.

"Pihak polis turut menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut atau kebetulan berada di lokasi kejadian semasa insiden berlaku untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan seorang YouTuber dan pengkritik sukan bola sepak cedera termasuk patah tulang mata selepas dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara.

Shamsudin dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang ingin mengisi angin tayar kenderaannya telah didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal Yamaha LC.

Suspek kemudian memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi.

Menurut Shamsudin, usaha mengesan kedua-dua suspek masih giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved