Polis terima tujuh laporan berkait isu pengurusan jenazah

28 Jun 2026 • 6:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis terima tujuh laporan berkait isu pengurusan jenazah
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus serta terperinci terhadap semua pihak yang terlibat.

AMPANG JAYA - Polis menerima tujuh laporan berkaitan isu pengurusan jenazah seorang remaja perempuan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesahkan menerima laporan polis berhubung isu berkenaan yang berlaku pada 25 Jun.

Menurutnya, setakat jam 5 petang pada Ahad, sebanyak tujuh laporan polis berkaitan kes itu telah diterima dan masih dalam siasatan.

"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu ini dan memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan secara telus serta terperinci terhadap semua pihak yang terlibat.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi Ketua Polis Balai Ampang di talian 03-4289 7222," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, bapa Allahyarham Siti Adawiyah, Mohd Hasrul Ghazali tampil menafikan semua dakwaan terhadapnya termasuk tuduhan menggunakan permit palsu, memalsukan tandatangan pada Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam serta dakwaan beliau meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya.

Mohd Hasrul mendakwa sejak awal lagi urusan pengurusan jenazah dikendalikan oleh Badan Kebajikan Salaturahim (BKS) sebelum berlaku kekeliruan berkaitan permit pengebumian sehingga jenazah anaknya terpaksa menunggu kira-kira sejam 39 minit sebelum dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana.

Beliau turut mendakwa tidak pernah dihubungi oleh pihak masjid mahupun Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan penjelasan sebelum kenyataan rasmi berhubung isu itu dikeluarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, datuk Allahyarham, Abd Majid Abdullah, 66, turut menafikan dakwaan bahawa beliau berkeras tidak mahu pihak masjid menguruskan jenazah cucunya serta menggesa JAIS menjalankan siasatan secara menyeluruh dengan mendapatkan penjelasan daripada waris sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved