
PETALING JAYA: Polis mempertingkat rondaan dan pemantauan keselamatan di kawasan yang dikenal pasti berpotensi berlaku gangguan ketenteraman awam bagi mencegah sebarang provokasi serta kekecohan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Tumpuan khusus diberikan kepada lokasi kempen, bilik gerakan parti politik dan kawasan tumpuan awam menerusi peningkatan rondaan kenderaan peronda polis (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) serta rondaan bit.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, pihaknya komited memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terkawal sepanjang tempoh PRN berkenaan.
Katanya, pendekatan JPJKK berteraskan pencegahan awal, kehadiran polis berprofil tinggi (high visibility policing), pemantauan berterusan serta penglibatan aktif masyarakat bagi meminimumkan risiko gangguan keselamatan.
“Penekanan diberikan kepada pengesanan awal potensi gangguan ketenteraman awam menerusi penilaian situasi keselamatan, pemerhatian di lapangan dan penyaluran maklumat kepada elemen operasi berkaitan.
“Langkah itu membolehkan tindakan pencegahan dilaksanakan sebelum sesuatu insiden menjadi lebih serius,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, JPJKK turut memanfaatkan jaringan kerjasama dengan pemimpin masyarakat, persatuan penduduk, komuniti setempat dan agensi berkaitan bagi meningkatkan kesedaran keselamatan.
Kerjasama itu juga bertujuan menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menggugat kelancaran proses PRN.
“Kehadiran anggota polis secara berterusan di lapangan bukan sahaja bertujuan mencegah perlakuan jenayah malah memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik,” jelasnya.
Dalam pada itu, JPJKK turut memberikan sokongan kepada elemen keselamatan dan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang lain khususnya dalam aspek pencegahan jenayah, pemantauan keselamatan komuniti serta perkongsian maklumat.
“Penyelarasan itu penting bagi memastikan setiap potensi ancaman dapat ditangani secara bersepadu dan berkesan.
“Prinsip utama JPJKK adalah jelas iaitu mencegah sebelum berlaku, mengesan sebelum merebak dan bertindak sebelum sesuatu keadaan menjejaskan keselamatan masyarakat,” ujarnya.
Noor Hisam berkata, dalam konteks pilihan raya, PDRM kekal profesional, berkecuali dan berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana aman, selamat dan harmoni.-UTUSAN.
The post Polis tingkat rondaan, cegah provokasi sepanjang PRN Melaka appeared first on Utusan Malaysia.






