
ALOR GAJAH: Peluang untuk mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 cerah, jika jentera Barisan Nasional (BN) berjaya memastikan 50 peratus pengundi putih keluar sebelum pukul 12 tengah hari, Sabtu ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, setiap pusat daerah mengundi (PDM) perlu memberi tumpuan terhadap gerak kerja membawa pengundi keluar seawal pagi.
Beliau berkata, usaha membawa keluar pengundi seawal pagi menjadi keutamaan kerana kadar keluar mengundi yang tinggi dalam kalangan penyokong BN menjadi faktor penting kepada kemenangan calon-calon.
“Jangan cakap banyak, pada hari mengundi pastikan sebelum pukul 12 tengah hari, sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi kita sudah keluar mengundi.
“Kalau kita dapat pastikan pengundi keluar awal dan jentera bergerak dengan tersusun, peluang kita untuk menang besar adalah cerah.
“Jangan bimbang dan jangan ragu-ragu. Hari Sabtu nanti kita turun mengundi dan pastikan kemenangan menjadi milik kita,” katanya ketika berucap pada lawatan ke Bilik Gerakan BN DUN Machap Jaya di Taman Lesung Batu Impian di sini hari ini.
Turut hadir calon BN DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem; calon BN DUN Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan dan Ketua MCA Bahagian Alor Gajah, Datuk Koh Nai Kwong.
Ab. Rauf berkata, kekuatan jentera serta kesatuan antara komponen BN di Parlimen Alor Gajah memberi keyakinan untuk mencipta kejayaan besar pada PRN kali ini.
Beliau optimis BN berupaya menyapu bersih kesemua lima kerusi DUN di bawah Parlimen Alor Gajah, sekiranya seluruh jentera bekerja sebagai satu pasukan sehingga saat akhir berkempen.
“Alor Gajah telah menunjukkan satu semangat kesatuan dan penyatuan yang cukup hebat.
“Di sini kita ada semua kekuatan komponen dan sokongan itu perlu kita kumpulkan untuk memastikan kemenangan di semua lima kerusi DUN di Parlimen Alor Gajah,” katanya. – UTUSAN
The post BN sasar 50 peratus pengundi putih sebelum 12 tengah hari appeared first on Utusan Malaysia.






