
SHAH ALAM, 28 OKT: Polis menahan 58 individu dan menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang beroperasi melalui pusat panggilan menerusi sembilan serbuan di Selangor dalam tempoh seminggu bermula 20 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata operasi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor dengan kerjasama lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), iaitu Serdang, Subang Jaya, Ampang Jaya, Sepang, Petaling Jaya, Kajang, Sungai Buloh dan Gombak, lapor Berita Harian.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 45 lelaki dan lima wanita warga asing serta lapan warga tempatan, berusia antara 20 hingga 50 tahun.
"Kesemua individu terbabit berperanan sebagai operator khidmat pelanggan untuk melakukan pelbagai penipuan dalam talian, antaranya penipuan pelaburan saham, love scam dan tawaran pekerjaan palsu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, hari ini.
Shazeli berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk 21 komputer, 16 komputer riba, 117 telefon bimbit, lapan modem, dua iPad dan dua unit pemprosesan pusat (CPU).
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM228,000.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket itu menyasarkan mangsa di luar negara, khususnya di Eropah serta Asia Timur dan dipercayai mula beroperasi sejak Julai lalu.
Katanya, kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala ujian saringan awal air kencing mereka menunjukkan keputusan negatif.
"Kebanyakan warga asing ditahan berasal dari Asia Timur dan sebahagian mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
"Semakan awal mendapati semua warga asing berkenaan memasuki Malaysia melalui pintu masuk negara yang sah. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bersama Jabatan Imigresen bagi mengesahkan status dokumen mereka," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.






