KLANG - Polis menunggu keputusan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi kes seorang perancang acara yang memandu dalam keadaan mabuk dan melawan arus sebelum merempuh seorang penunggang motosikal di Persiaran Kota, di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kertas siasatan kes itu telah diserahkan pihakya kepada TPR.
"Kertas siasatan sudah submit (hantar). Tunggu arahan lanjut dan keputusan TPR," katanya ringkas ketika dihubungi pada Jumaat.
Pada Isnin lalu, media melaporkan keluarga mangsa kemalangan, Allahyarham Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, memohon pindaan pertuduhan berat dikenakan ke atas pemandu lelaki itu.
Bapa mangsa, Amirul Nizam Abdul Aziz, 49, berkata, laporan perubatan hospital membuktikan bahawa kematian arwah akibat kecederaan dialami dalam kemalangan itu.
Menurutnya, asas menunjukkan pemandu boleh dipertanggungjawabkan atas kematian itu termasuk pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, tertuduh, Low Kean Peng, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 milimeter (ml) darah di Persiaran Kota di sini, kira-kira pukul 12.35 pagi, 13 Mei lalu.
Jumlah itu melebihi had 146mg alkohol dalam 100ml darah sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada Zulfiqar.
Justeru, Kean Peng didakwa mengikut Seksyen 44 (1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada 25 Mei lalu, Zulfiqar yang parah disahkan meninggal dunia selepas 13 hari bertarung nyawa di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Jenazah Allahyarham yang juga penasihat servis sebuah syarikat automotif itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hutan Melintang, Perak pada 26 Mei lalu.






