Polis: Warga asing tinggal di bangunan sekolah terbiar adalah pekerja binaan

13 Dec 2022 • 8:53 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Warga asing yang didakwa mendiami bangunan sekolah terbiar di Taman Desa di sini merupakan pekerja di sebuah tapak pembinaan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata bagaimanapun ketika pegawai penyiasatnya hadir ke kawasan berkenaan, ia didapati telah dikosongkan dan tidak berpenghuni.

“Siasatan awal mendapati seramai 50 pekerja di tapak pembinaan itu telah menjadikan bangunan berkenaan sebagai tempat tinggal mereka dan mereka menceroboh masuk melalui pagar belakang yang telah roboh.

“Pihak polis juga telah berhubung serta menasihati wakil pihak pengurusan tapak pembinaan itu untuk melarang pekerja mereka tinggal di kawasan bangunan sekolah terbiar berkenaan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Media tempatan pada Jumaat lepas melaporkan lebih 50 warga asing menjadikan bangunan sekolah lama itu sebagai tempat tinggal kerana mendakwa majikan mereka tidak menyediakan kemudahan penginapan sewajarnya.

Menurut Amihizam, pihaknya juga akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mengelak perkara itu berulang.

Beliau berkata siasatan dijalankan susulan laporan polis yang diterima pihaknya pagi tadi daripada Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Bangsar/Pudu susulan laporan akhbar tempatan mengenai perkara berkenaan.

Difahamkan, bangunan Sekolah Kebangsaan Danau Perdana itu dikosongkan sejak 2005 akibat masalah strukturnya berikutan mendapan tanah. - Bernama