
KOTA BELUD: Pembinaan Politeknik Kota Belud dianggarkan melibatkan kos RM250 juta dijangka siap pada 2030 dengan menawarkan program pengajian berteraskan teknologi tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Seri Zambry Abd Kadir berkata projek berkenaan kini memasuki fasa pelaksanaan selepas proses pengambilan tanah dimuktamadkan menerusi Majlis Penyerahan Cek Cura Pampasan Pengambilan Tanah yang berlangsung di sini, Khamis.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Aminuddin Hassim.
“Penyerahan pampasan ini menandakan pembinaan politeknik telah bermula secara rasmi sebelum memasuki fasa penyediaan reka bentuk serta perancangan terperinci.
“Kita harapkan bermula Rolling Plan Ketiga (RP3) (Rancangan Malaysia Ke-13) tahun hadapan, semua aspek untuk membangunkan politeknik ini dapat dilaksanakan dan dijangka disempurnakan pada 2030,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek itu kepada pemilik tanah dalam majlis di sini, Khamis.
Beliau berkata penubuhan politeknik itu merupakan kesinambungan perancangan yang dimulakan sejak 2017 selepas dicadangkan oleh Ahli Parlimen Kota Belud ketika itu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Mengulas mengenai program yang bakal ditawarkan, Zambry berkata politeknik berkenaan akan memberi tumpuan khusus kepada bidang yang selaras dengan keperluan industri semasa dan masa hadapan di Sabah.
“Kursus yang ditawarkan lebih spesifik kepada keperluan pasaran seperti tenaga hijau, kecerdasan buatan (AI), sains komputer, dan diploma pertanian berasaskan teknologi pintar,” katanya.
Beliau berkata pengambilan awal pelajar dijangka melibatkan kira-kira 500 orang sebelum kapasiti keseluruhan ditingkatkan kepada 1,000 hingga 1,500 pelajar.


