
Tenom: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Melalap bernilai kira-kira RM42 juta di Jalan Kampung Jawa, Sumbiling dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada masalah bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk Melalap dan kawasan sekitarnya apabila siap sepenuhnya menjelang 2030.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Adun Melalap, Datuk Jamawi Jaffar berkata projek yang dibiayai menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu akan meningkatkan kapasiti serta kebolehpercayaan sistem bekalan air bagi memenuhi keperluan penduduk dan menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau berkata reka bentuk projek telah disiapkan dan kini hanya menunggu Jabatan Air Negeri Sabah mengiklankan tender pembinaan yang dijangka dibuat pada penghujung tahun ini.
“Jika proses berjalan lancar, pembinaan dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun sebelum siap menjelang 2030. Apabila siap kelak, pendudukMelalap akan menikmati sebuah loji rawatan air baharu yang mampu memenuhi keperluan bekalan air di seluruh kawasan,” katanya kepada pemberita.
Menurut Jamawi, loji berkenaan mampu menghasilkan sehingga tiga juta liter air sehari, sekali gus meningkatkan kapasiti bekalan dan mengurangkan gangguan air yang telah lama membelenggu penduduk.
Beliau berkata ketika ini bekalan air ke Melalap masih bergantung kepada LRA Senagang dan LRA Tenom Lama.
Katanya, pembinaan LRA Melalap akan memperkukuh sistem bekalan sedia ada serta memastikan bekalan air lebih stabil dan mencukupi, khususnya bagi menampung peningkatan permintaan apabila Pekan Melalap berkembang sebagai kawasan pembangunan dan pusat pertumbuhan ekonomi.
Jamawi berkata pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan masyarakat luar bandar menikmati kemudahan bekalan air yang lebih berkualiti, stabil dan mencukupi, di samping menyokong pembangunan sosioekonomi Melalap pada masa hadapan.






