
Semangat juang yang tidak pernah luntur menjadi pemangkin kepada kebangkitan luar biasa pasukan ragbi Politeknik Ungku Omar (PUO) Panther apabila berjaya merangkul kejuaraan Kategori Bowl dalam Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Jemputan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak 2026 yang berlangsung di Padang Ragbi UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.
Kejohanan anjuran UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah itu menghimpunkan 12 pasukan terdiri daripada institusi pengajian tinggi dan kolej vokasional daripada seluruh negara termasuk UiTM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta kolej vokasional, sekali gus menjadi antara platform pembangunan ragbi IPT yang kompetitif dan medan persediaan atlet menghadapi kejohanan yang lebih mencabar pada masa hadapan.
Lebih manis, kejayaan PUO Panther hadir selepas pasukan itu bangkit daripada permulaan yang kurang memberangsangkan di peringkat kumpulan.
Malah, impian untuk mara hampir berkubur apabila ketinggalan 0-12 kepada Ipoh Bulls RC pada peringkat separuh akhir kategori Bowl.
Bagaimanapun, pada aksi final PUO Panther mendominasi permainan sejak wisel permulaan sebelum membelasah UiTM Pahang Panthers 21-0, sekali gus membuktikan bahawa apabila dua pasukan bergelar ‘Panther’ bertembung, hanya satu yang layak bergelar ‘Alpha’.
Kejuaraan Cup dimenangi oleh UPSI Eagles, manakala UiTM Dengkil Acid Pumas muncul juara kategori Plate, sementara PUO Panther menjuarai kategori Bowl.
Pasukan PUO Panther diketuai oleh Akmal Danish Saharudin, Pelajar Kejuruteraan Perkapalan PUO bersama 14 pemain di bawah pengurusan Musa Abu Samah.
Hadiah kemenangan disampaikan Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah. Dr. Ahmad Zoolhelmi Alias.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Salmi Che Meh berkata, kejayaan yang dicapai membuktikan bahawa semangat juang, disiplin dan kerja berpasukan merupakan asas kepada kecemerlangan yang mampu membawa nama institusi ke tahap lebih tinggi.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga PUO Panther, pengurus pasukan, barisan jurulatih serta Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) atas komitmen dan dedikasi yang dipamerkan sepanjang kejohanan,” ujarnya.
Kemenangan ini membuktikan bahawa mahasiswa TVET bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran, malah mampu bersaing serta mengungguli arena sukan di peringkat yang lebih tinggi.
Teruskan melakar kejayaan, kekalkan disiplin dan jadikan kemenangan ini sebagai pemangkin untuk mengharumkan nama Politeknik Ungku Omar selaras dengan aspirasi kita ke arah Politeknik Apex,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan tersebut turut membuktikan keberkesanan usaha berterusan Politeknik Ungku Omar melalui Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) dalam memperkukuh pembangunan sukan institusi melalui pembentukan atlet yang berkualiti, berdaya tahan serta memiliki nilai kepimpinan dan sahsiah yang tinggi.
Pasukan PUO Panther merupakan pasukan ragbi rasmi Politeknik Ungku Omar yang sentiasa komited melahirkan atlet pelajar yang cemerlang dari aspek kemahiran sukan, kepimpinan dan sahsiah diri.
Penyertaan dalam kejohanan ini bukan sekadar memburu kemenangan, malah menjadi platform penting untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan taktikal pemain melalui persaingan bersama pasukan-pasukan institusi pengajian tinggi dan kelab ragbi dari seluruh negara.
Selain mengukuhkan semangat kesukanan, disiplin dan kerjasama berpasukan, kejohanan ini turut menjadi medan penilaian prestasi atlet sebagai persediaan menghadapi kejohanan yang lebih kompetitif pada masa hadapan, di samping meningkatkan keterlihatan dan reputasi Politeknik Ungku Omar dalam arena sukan di peringkat negeri serta kebangsaan.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh reputasi Politeknik Ungku Omar sebagai institusi TVET yang terus menyerlah bukan sahaja dalam kecemerlangan akademik dan inovasi, malah dalam pembangunan bakat sukan yang holistik, selaras dengan aspirasi institusi ke arah Politeknik Apex.-UTUSAN
The post Politeknik Ungku Omar Panther tunjuk kebangkitan juarai ragbi appeared first on Utusan Malaysia.
