
TEHRAN: Landskap politik Iran semakin berpecah apabila usaha mencapai persetujuan dengan Amerika Syarikat (AS) mencetuskan pertembungan antara golongan menyokong rundingan dan kelompok berhaluan keras yang mahu menghalangnya.
Pertelagahan itu turut menyaksikan tekanan semakin meningkat terhadap Presiden Masoud Pezeshkian dan Speaker Parlimen, Mohammad Baqer Ghalibaf, antara tokoh utama yang berusaha mendapatkan persetujuan dengan Washington bagi menamatkan permusuhan hampir enam bulan.
Golongan berhaluan keras pula bimbang sebarang persetujuan dengan AS akan mengecilkan pengaruh politik mereka dan menentukan hala tuju Iran pada masa depan, sekali gus menjadikan rundingan itu medan baharu perebutan pengaruh dalam kepimpinan negara.
Ketegangan berkenaan semakin terserlah menerusi kemunculan beberapa rakaman audio dan video yang mencetuskan persoalan mengenai pendirian Pemimpin Tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, terhadap rundingan serta kedudukan Pezeshkian dan Ghalibaf.
Dalam satu video yang bocor, Mohammad-Bagher Kharrazi, ipar kepada Masoud Khamenei iaitu adik kepada Pemimpin Tertinggi, mendakwa Mojtaba akan menerima peletakan jawatan Pezeshkian sekiranya presiden itu sekali lagi cuba berundur.
Bagaimanapun, pejabat perhubungan awam Pemimpin Tertinggi menafikan kenyataan yang dilaporkan itu tanpa menyebut nama Kharrazi secara langsung.
Tidak lama kemudian, satu lagi rakaman audio muncul yang memaparkan tokoh kanan konservatif, Ali Saeedi, mendakwa Mojtaba menyokong rundingan dengan AS dan tidak bersetuju dengan pendirian berhaluan keras yang menentang diplomasi.
Perkembangan itu menggambarkan perbezaan pandangan yang semakin ketara dalam kalangan kelompok politik Iran ketika Teheran berdepan tekanan untuk menentukan sama ada mahu meneruskan usaha diplomasi dengan Washington atau mengambil pendirian lebih tegas.
Seorang sumber kanan reformis memberitahu Middle East Eye (MEE), golongan berhaluan keras sebelum ini tidak mahu Mojtaba menggantikan bapanya, sebaliknya mempunyai calon pilihan mereka sendiri untuk jawatan tertinggi negara.
Sumber itu turut mendakwa golongan tersebut dalam beberapa tahun kebelakangan ini berulang kali menyasarkan individu terdekat Mojtaba dengan tuduhan rasuah dalam usaha menjejaskan kredibiliti mereka.
“Mojtaba mungkin mempunyai beberapa pendirian berhaluan keras, namun beliau bukan tokoh yang mengetuai golongan ultra-konservatif sepanjang sedekad lalu,” kata sumber itu.
Menurut sumber berkenaan, perang Presiden AS, Donald Trump, terhadap Iran kemudian mengubah dinamik politik dan mewujudkan keadaan lebih memihak kepada Mojtaba.
The post Politik Iran berpecah, rundingan AS jadi medan rebut pengaruh appeared first on Utusan Malaysia.


