AS minta Israel henti serang Gaza, Lubnan

WorldPolitics
10 Aug 2026 • 12:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AS minta Israel henti serang Gaza, Lubnan

WASHINGTON: Jurang perselisihan antara Israel dan Amerika Syarikat (AS) semakin melebar ketika Washington mendesak supaya pertempuran di Gaza, Lubnan termasuk melibatkan Iran dihentikan, menurut penyiar rejim Zionis, saluran televisyen Channel 13.

Memetik sumber politik yang tidak dinamakan, stesen penyiaran itu melaporkan bahawa Ketua Markas  Pusat AS (CENTCOM), Laksamana Brad Cooper menyampaikan mesej tersebut ketika lawatannya ke Israel pada Sabtu bahawa Washington mahu melihat kemajuan ke arah menutup ketiga-tiga medan peperangan itu.

Desakan itu mendedahkan perbezaan pendapat mengenai sejauh mana Israel bersedia mengurangkan operasi ketenteraannya di seluruh rantau berkenaan.

Pegawai tentera Israel memberitahu rakan sejawat mereka dari AS bahawa Israel berhasrat mengekalkan kebebasan untuk bertindak terhadap Iran sekiranya Teheran meneruskan pembangunan program nuklearnya atau membina semula keupayaan peluru berpandu balistiknya, menurut laporan itu.

Sementara itu di Lubnan, Washington mendesak Israel melakukan pengunduran lanjut dari kedudukan tenteranya di dalam zon keselamatan di selatan negara berkenaan, kata Channel 13.

Di Gaza, AS mendesak kemajuan dicapai dan penempatan pasukan multinasional yang kini merangkumi ratusan anggota tentera dari Maghribi serta Uganda, menurut penyiar itu.

Pegawai keselamatan Israel juga dalam beberapa hari kebelakangan ini menyuarakan bantahan kepada kepimpinan politik berhubung tuntutan AS supaya pembunuhan bersasar dihentikan dan serangan ketenteraan di Gaza dikurangkan, menurut laporan berkenaan.

Saluran televisyen Channel 13 menyatakan bahawa tuntutan tersebut tidak dinyatakan secara jelas dalam cadangan yang sedang dibincangkan ketika ini.

Seorang pegawai kanan tentera Israel yang dipetik penyiar itu berkata, mesej Washington kepada kepimpinan keselamatan Israel adalah supaya bergerak ke arah menutup ketiga-tiga medan peperangan tersebut. – AGENSI

The post AS minta Israel henti serang Gaza, Lubnan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved