
PETALING JAYA – Kerajaan Madani telah membuktikan bahawa amanah pemerintahan diterjemahkan melalui tindakan yang nyata dan berkesan, bukan retorik atau tekad kosong.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen ini dizahirkan daripada usaha mempertahankan harga RON95 pada harga RM1.99 seliter untuk warganegara Malaysia sahaja serta usaha meningkatkan pendapatan pekerja.
Menurutnya, seterusnya memperluas bantuan rakyat hingga menyediakan perumahan mampu milik dan kemudahan kepada golongan mahasiswa yang mana setiap ikhtiar ini berpaksikan tekad mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat.
“Justeru, saya tegaskan bahawa politik kebencian dan permusuhan antara kaum tidak akan membawa negeri dan negara ke mana-mana.
“Kekuatan kita terletak pada perpaduan, tatakelola yang bersih serta keberanian melaksanakan perubahan yang benar-benar memanfaatkan rakyat,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan pengumuman calon dan pelancaran jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Melaka di Stadium Hang Jebat malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan seluruh calon dan jentera Pakatan Harapan bahawa perjuangan ini bukan semata-mata untuk meraih kemenangan, tetapi ia adalah amanah besar dan berat.
“Dengan semangat dan iltizam yang diperlihatkan rakyat Melaka malam tadi, saya yakin negeri bersejarah ini mampu sekali lagi menjadi wahana perubahan dan pembaharuan demi masa depan yang lebih adil, makmur dan bermaruah,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Politik permusuhan antara kaum tidak ke mana – Anwar appeared first on Kosmo Online.






