
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan penyelarasan antara agensi diperkukuhkan supaya tindakan penguatkuasaan kawalan harga barangan asas dan membanteras pencatutan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hari ini, tumpuan diberikan kepada cadangan inisiatif dan langkah segera bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat di bawah Belanjawan 2027.
Katanya, beliau juga meneliti perkembangan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengawal harga barangan asas dan membanteras pencatutan di seluruh negara.
“Saya arahkan supaya penyelarasan antara agensi diperkukuh supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik dunia dan kesannya terhadap harga serta bekalan keperluan asas agar sebarang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan segera dan berkesan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Pada malam ambang merdeka lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan enam ikhtiar bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat termasuk mengembalikan kelayakan asas Program Budi Madani RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.
Pada masa sama, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati Budi Diesel hingga 400 liter sebulan.
Turut diumumkan adalah peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan sebanyak 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion, meliputi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
Antara lain, Anwar turut mengumumkan ikhtiar melibatkan Program Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat yang dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun, dengan 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan.
Perdana Menteri juga mengumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, termasuk pelaksanaan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Kerajaan juga bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun, sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya.
Selain itu, kemudahan pembiayaan mikro juga ditambah sebanyak RM1 bilion menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Kerajaan juga memperkenalkan Geran Sejahtera Madani RM200 juta untuk membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang berniaga dari rumah. – UTUSAN
The post PM arah penyelaras agensi penguatkuasaan kos sara hidup diperkukuhkan appeared first on Utusan Malaysia.





