Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) merupakan langkah penting bagi memperkukuh kestabilan politik negara, sekali gus memastikan pentadbiran kerajaan dan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, persefahaman politik itu turut membuka ruang kepada pelaksanaan Belanjawan 2027 secara berkesan demi menjaga kepentingan rakyat.
“Dalam negara demokrasi, perbezaan pandangan tidak seharusnya menghalang usaha membina masa depan lebih baik.
“Kematangan politik menuntut semua pihak meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan politik sempit, demi memastikan Malaysia terus aman, stabil dan maju serta kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Semoga persefahaman ini menjadi asas kepada kerjasama konstruktif, memperkukuh keyakinan terhadap proses demokrasi dan membuka ruang bagi memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan tindakan beberapa Ahli Parlimen, termasuk enam wakil rakyat BERSATU yang memeterai CSA bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Parlimen.
Menerusi perjanjian tersebut, kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen BERSATU yang terlibat pada kadar sama seperti diterima wakil rakyat kerajaan.


Bagaimanapun, jumlah sebenar peruntukan belum dimuktamadkan, dengan anggaran antara RM3 juta hingga RM4 juta setahun.
Enam Ahli Parlimen BERSATU berkenaan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh), Datuk Dr Radzi Jidin (Putrajaya), Datuk Ali Biju (Saratok), Datuk Suhaimi Abdullah (Langkawi), Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).

Perkembangan itu berlaku ketika blok kerajaan dilaporkan mempunyai 149 Ahli Parlimen, sekali gus melepasi ambang majoriti dua pertiga sebanyak 146 kerusi berdasarkan 218 Ahli Parlimen aktif.
Dalam masa sama, Anwar berharap persefahaman tersebut dapat mengukuhkan kerjasama antara pihak yang berbeza pandangan politik demi menjamin kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.
Sumber: FB Anwar Ibrahim






