Pengasingan jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya mesti bebas campur tangan politik: Shafie

LocalPolitics
29 Oct 2026 • 4:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pengasingan jawatan Peguam Negara, Pendakwa Raya mesti bebas campur tangan politik: Shafie

Kota Kinabalu: Pengasingan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu disusuli jaminan kebebasan daripada campur tangan politik serta mekanisme kebertanggungjawaban yang kukuh bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (gambar) berkata, pengasingan kedua-dua jawatan itu tidak secara automatik menjamin kebebasan institusi pendakwaan sekiranya pengaruh politik masih boleh mencampuri keputusan pendakwaan.

Sambil menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengasingkan kedua-dua peranan berkenaan, namun beliau menegaskan pembaharuan itu tidak seharusnya terhad kepada perubahan struktur pentadbiran semata-mata.

“Saya mengalu-alukan cadangan Kerajaan Persekutuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh kedaulatan undang-undang serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Bagaimanapun, pengasingan kedua-dua jawatan ini tidak secara automatik menjamin kebebasan Pendakwa Raya. Apa gunanya kedua-dua jawatan ini diasingkan sekiranya pengaruh dan campur tangan politik masih boleh berlaku?. Kita tidak seharusnya sekadar mengubah struktur pentadbiran sedangkan masalah yang sama terus berlarutan.

“Pendakwa Raya mesti bebas daripada pengaruh kuasa Eksekutif tetapi pada masa sama bertanggungjawab kepada Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, Rabu.

Mengulas lanjut, Shafie berkata, keputusan untuk mendakwa atau menggugurkan sesuatu pertuduhan mestilah dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang, bukannya pertimbangan politik, khususnya apabila kes membabitkan ahli politik, individu berpengaruh atau mereka yang mempunyai hubungan dengan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan cadangan supaya Parlimen dilibatkan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya dan laporan tahunan institusi berkenaan dikemukakan kepada Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, mekanisme pengawasan itu perlu diperkukuh melalui penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang.

Katanya, jawatankuasa berkenaan juga perlu diberi kuasa meneliti dasar, pentadbiran, perbelanjaan serta prestasi keseluruhan institusi Pendakwa Raya bagi memastikan pengurusan dan operasinya dilaksanakan secara telus.

Pada masa sama, beliau menegaskan pengawasan Parlimen tidak boleh sampai mencampuri urusan kes individu, termasuk menentukan pihak yang perlu didakwa atau pertuduhan yang patut digugurkan.

“Tiada ahli politik, sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang, boleh menentukan siapa yang patut didakwa atau pertuduhan terhadap siapa yang perlu digugurkan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan proses pelantikan yang adil dan telus, termasuk jaminan tempoh perkhidmatan serta perlindungan daripada tekanan politik atau pemecatan secara sewenang-wenangnya.

Menurutnya, segala jaminan berkenaan perlu diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan dan undang-undang, bukannya bergantung kepada budi bicara atau niat baik mana-mana Perdana Menteri mahupun kerajaan yang memerintah.

Shafie menegaskan ukuran sebenar kebebasan Pendakwa Raya adalah keupayaan menguatkuasakan undang-undang terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau hubungan politik.

Katanya, prinsip sama mesti terpakai kepada pemimpin kerajaan dan pembangkang bagi memastikan tiada layanan berbeza dalam penguatkuasaan undang-undang kerana matlamat utama pembaharuan itu adalah untuk membina sistem keadilan yang boleh dipercayai, dengan setiap individu dilayan secara sama rata dan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang.

“Pembaharuan ini mesti dirangka supaya dapat bertahan melangkaui pentadbiran kerajaan hari ini. Kerajaan datang dan pergi tetapi kebebasan sistem keadilan negara mesti terus terpelihara.

“Oleh itu, saya menggesa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen supaya memastikan pembaharuan yang dicadangkan benar-benar menjamin kebebasan Pendakwa Raya, menyediakan perlindungan undang-undang yang kukuh serta mewujudkan mekanisme kebertanggungjawaban yang berkesan kepada Parlimen.

“Kita tidak mahu Pendakwa Raya yang hanya bebas pada nama tetapi hakikatnya masih dikawal oleh mereka yang berkuasa. Kita mahukan sebuah institusi yang menjunjung undang-undang, bukannya berkhidmat untuk kepentingan kerajaan yang memerintah,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved