Industri filem seram tempatan bakal menerima satu lagi naskhah yang bukan hanya bergantung kepada elemen kejutan atau kemunculan makhluk ghaib semata-mata.
Filem Polong, arahan Zulkarnain Azhar, hadir dengan pendekatan yang lebih psikologi dan emosional apabila mengangkat tema warisan ilmu hitam, trauma keluarga dan dosa silam yang diwariskan dari satu generasi ke generasi lain.

Berbeza dengan lambakan filem seram klise yang sering bermain dengan jump scare, Polong cuba menyelongkar sisi paling gelap manusia, tentang bagaimana ketamakan dan keinginan boleh membuka ruang kepada sesuatu yang akhirnya memakan diri sendiri.
Malah, menurut Zulkarnain sendiri, ketakutan sebenar dalam filem itu bukan datang daripada entiti ghaib semata-mata, tetapi manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak mereka.
Menariknya, pendekatan itu dilihat selari dengan karya-karya terdahulu beliau yang lebih gemar membina rasa takut melalui emosi dan tekanan psikologi berbanding sekadar gangguan visual.
Filem ini menampilkan Mimi Lana sebagai Fatima, seorang wartawan yang secara tidak sengaja membongkar kisah lampau seorang bomoh wanita bernama Maria Hadi lakonan Jun Lojong.
Apa yang bermula sebagai pencarian kebenaran akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila satu entiti lama kembali ‘dibebaskan’.

Bagi Mimi sendiri, pemilihan watak-watak yang mempunyai lapisan emosi dilihat semakin dekat dengan perjalanan kariernya sekarang.
Dalam beberapa perkongsian terdahulu, pelakon itu pernah mengakui dia kini lebih menghargai naskhah yang memberi ruang kepada emosi manusia dan konflik dalaman untuk diterokai. Sebab itu watak Fatima terasa menarik.
Dia bukan tipikal heroin filem seram yang sekadar menjerit dan melarikan diri, tetapi seorang wanita yang terperangkap antara rasa ingin tahu, trauma dan ketakutan terhadap sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri.
Turut membintangi filem ini ialah Namron, Fad Anuar, Amir Nafis dan Nadiya Nisaa.
Apa yang membuatkan Polong berpotensi mencuri perhatian ialah keberaniannya menggunakan elemen mistik Melayu sebagai simbol kepada legasi toksik keluarga.
Dalam budaya tempatan, polong sering dikaitkan dengan ilmu hitam yang ‘dipelihara’ dan diwariskan, sesuatu yang dekat dengan ketakutan masyarakat Melayu sejak dahulu.
Namun filem ini cuba pergi lebih jauh daripada mitos tersebut. Ia seolah-olah mengangkat persoalan, bolehkah seseorang benar-benar memutuskan dosa dan kesilapan yang ditinggalkan generasi sebelumnya?

Secara visual pula, Polong dijangka tampil dengan tona lebih suram dan atmosferik, sesuai dengan gaya pengarahan Zulkarnain yang gemar membina rasa tidak selesa secara perlahan sebelum meledakkan ketegangan.
Diterbitkan oleh Golden Star Pictures dengan kerjasama Primeworks Studios, filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Mei 2026. - Getaran, 22 Mei 2026




